1. |
Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap); |
2. |
Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak; |
3. |
Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu); |
4. |
Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar; |
5. |
Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan; |
6. |
Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur; |
7. |
Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya; |
8. |
Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: Ditanya, |
9. |
Dengan dosa apakah dia dibunuh? |
10. |
Dan apabila surat-surat amal dibentangkan; |
11. |
Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya; |
12. |
Dan apabila Neraka dinyalakan menjulang; |
13. |
Dan apabila Syurga didekatkan; |
14. |
(Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya. |
15. |
Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul; |
16. |
Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya; |
17. |
Dan malam, apabila ia hampir habis, |
18. |
Dan siang, apabila ia mulai terang; |
19. |
Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia, |
20. |
Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, |
21. |
Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai. |
22. |
Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah dia seorang gila (seperti yang kamu tuduh); |
23. |
Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata. |
24. |
Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib. |
25. |
Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam. |
26. |
(Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)? |
27. |
Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam: |
28. |
Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. |
29. |
Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. |