1. |
Demi (makhluk-makhluk) yang mencabut (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya; |
2. |
Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya; |
3. |
Dan demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya; |
4. |
Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya; |
5. |
Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya; (sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat). |
6. |
Pada masa berlakunya tiupan sangkakala yang pertama yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan), |
7. |
Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing); |
8. |
Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut, |
9. |
Pemandangannya tunduk gerun. |
10. |
Mereka (yang ingkar) berkata: Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu? |
11. |
Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput? |
12. |
Mereka berkata lagi (secara mengejek: Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan! |
13. |
(Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua); |
14. |
Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata. |
15. |
Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? |
16. |
Ketika dia diseru oleh Tuhannya di “Wadi Tuwa” yang suci; |
17. |
(Lalu diperintahkan kepadanya): Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya); |
18. |
Serta katakanlah kepadanya: Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? |
19. |
Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? |
20. |
(Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: Mukjizat yang besar. |
21. |
Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah); |
22. |
Kemudian dia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa). |
23. |
Lalu dia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru; |
24. |
Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi. |
25. |
Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya. |
26. |
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya). |
27. |
(Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! |
28. |
Dia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnaKannya, |
29. |
Dan Dia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang. |
30. |
Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya); |
31. |
Dia mengeluarkan dari bumi itu: Airnya dan tumbuh-tumbuhannya; |
32. |
Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya); |
33. |
(Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. |
34. |
Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar; |
35. |
Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya; |
36. |
Dan Neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya; |
37. |
Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya); |
38. |
Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata; |
39. |
Maka sesungguhnya Neraka Jahannamlah tempat kediamannya. |
40. |
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; |
41. |
Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. |
42. |
Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? |
43. |
Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu? |
44. |
Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya. |
45. |
Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu. |
46. |
(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja. |