1. |
Wahai orang yang berselimut! |
2. |
Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). |
3. |
Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! |
4. |
Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. |
5. |
Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. |
6. |
Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. |
7. |
Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)! |
8. |
Kerana apabila telah ditiup sangkakala, |
9. |
Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar – |
10. |
Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya). |
11. |
(Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak), |
12. |
Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak, |
13. |
Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya. |
14. |
Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya. |
15. |
Kemudian dia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi; |
16. |
Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami). |
17. |
Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya. |
18. |
Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran) – |
19. |
Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)? |
20. |
Sekali lagi: Binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)? |
21. |
Kemudian dia merenung dan memikirkan (berkali-kali: Jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi dia gagal); |
22. |
Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut; |
23. |
Kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh, |
24. |
Serta dia berkata: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya); |
25. |
Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia! |
26. |
(Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam Neraka Saqar. |
27. |
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu? |
28. |
Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa dan tidak membiarkannya (binasa terus) |
29. |
Ia terus-menerus membakar kulit manusia! |
30. |
Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat). |
31. |
Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal Neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami) dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran) dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu) dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini? Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dialah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) Neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia. |
32. |
Sebenarnya! Demi bulan, |
33. |
Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri, |
34. |
Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang, |
35. |
Sesungguhnya Neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar, |
36. |
Yang menjadi amaran bagi umat manusia, |
37. |
(Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya). |
38. |
Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya, |
39. |
Kecuali puak Kanan, |
40. |
(Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya, |
41. |
Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah, |
42. |
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (Neraka) Saqar? |
43. |
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; |
44. |
Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; |
45. |
Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; |
46. |
Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, |
47. |
Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. |
48. |
Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu. |
49. |
(Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran) ? |
50. |
Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari, |
51. |
Melarikan diri (ketakutan) dari singa! |
52. |
(Mereka tidak merasa cukup dengan peringatan itu) bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka (yang diturunkan dari langit untuk dibaca oleh mereka sendiri). |
53. |
Sebenarnya! (Bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil), bahkan mereka (tidak percaya dan) tidak takut akan hari akhirat. |
54. |
Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya); |
55. |
Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) dapatlah dia mengambil peringatan daripadanya. |
56. |
Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dialah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya dan Dialah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat). |