71. Nuh

1.

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya.

2.

Dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;

3.

Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertakwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;

4.

Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertakwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman).

5.

(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

6.

Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

7.

Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

8.

Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

9.

Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

10.

Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

11.

(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

12.

Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

13.

Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), –

14.

Padahal sesungguhnya Dia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?

15.

Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,

16.

Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),

17.

Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,

18.

Kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati) dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?

19.

Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,

20.

Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya.

21.

Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

22.

Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

23.

Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd dan Suwaa’ dan Yaghuth dan Ya’uuq, serta Nasr.