1. |
Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. |
2. |
Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku. |
3. |
Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah). |
4. |
Dan sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan Al-Quran), sebahagian dari kisah-kisah dan berita (umat-umat yang telah lalu), yang mengandungi perkara-perkara yang cukup untuk mencegah mereka (dari perbuatan kufur itu). |
5. |
(Yang demikian ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala peringatan dan amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang ingkar). |
6. |
Oleh itu, berpalinglah dari mereka (wahai Muhammad dan janganlah dihiraukan). (Ingatlah) masa (malaikat) penyeru menyeru (mereka pada hari kiamat) kepada perkara yang tidak diingini (oleh orang yang bersalah); |
7. |
(Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran. |
8. |
Masing-masing dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian), orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar! |
9. |
Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Dia seorang gila dan dia telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama). |
10. |
Lalu dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)! |
11. |
Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. |
12. |
Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. |
13. |
Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku; |
14. |
Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar! |
15. |
Dan demi sesungguhnya! Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi pengajaran, maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf? |
16. |
Oleh itu, perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu. |
17. |
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? |
18. |
(Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabku dan kesan amaran-amaranKu! |
19. |
Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari nahas yang berlanjutan; – |
20. |
Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang terbongkar. |
21. |
Maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu! |
22. |
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? |
23. |
(Demikian juga) kaum Thamud telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasul mereka, Nabi Soleh). |
24. |
Lalu mereka berkata: Patutkah kita menurut manusia dari jenis kita, lagi yang berseorangan? Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila! |
25. |
Tidaklah patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang yang lebih layak ada) di antara kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi sombong angkuh. |
26. |
Mereka akan mengetahui kelak siapakah orangnya yang pendusta, lagi sombong angkuh itu. |
27. |
Sesungguhnya Kami menghantarkan unta betina (yang menjadi mukjizat) sebagai satu ujian bagi mereka. Lalu (Kami perintahkan Rasul Kami): Tunggulah (apakah yang mereka akan lakukan) serta bersabarlah (terhadap tentangan mereka). |
28. |
Dan khabarkanlah kepada mereka, bahawa sesungguhnya air (telaga mereka) terbahagi di antara mereka dengan unta itu, tiap-tiap bahagian air itu dihadiri oleh yang berhak mengambilnya (pada hari gilirannya). |
29. |
(Mereka selepas itu merasa bosan dengan keadaan unta itu dan berkira hendak membunuhnya), lalu mereka memanggil kawan mereka (yang sanggup membunuhnya), dia pun bertindak sampai dapat membunuhnya. |
30. |
Maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu! |
31. |
Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak. |
32. |
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? |
33. |
(Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasulnya). |
34. |
Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam, |
35. |
Sebagai limpah kurnia dari Kami. Demikianlah kami membalas orang-orang yang bersyukur. |
36. |
Dan demi sesungguhnya! Nabi Lut telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab seksa Kami; dalam pada itu, mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu. |
37. |
Dan demi sesungguhnya! Mereka telah memujuk Nabi Lut mengenai tetamunya, lalu Kami hapuskan biji mata mereka, serta (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu! |
38. |
Dan demi sesungguhnya! Mereka telah ditimpa azab yang kekal pada pagi-pagi hari (esoknya). |
39. |
Lalu (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu! |
40. |
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? |
41. |
Dan demi sesungguhnya! Firaun dan kaumnya telah didatangi (Rasul-rasul) pemberi amaran. |
42. |
Mereka telah mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, lalu Kami timpakan azab seksa kepada mereka sebagai seksaan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa. |
43. |
Adakah orang-orang kafir kamu (wahai kaum musyrik Mekah), lebih baik (kekuatan, kekayaan dan kehandalannya) daripada kaum-kaum kafir yang tersebut itu? Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti dalam Kitab-kitab Suci tentang kebebasan kamu (dari azab)? |
44. |
(Mereka tidak mempunyai sebarang bukti) bahkan mereka akan berkata (dengan angkuhnya): Kami satu kaum yang bersatu, yang sudah tentu dapat membela diri! |
45. |
Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari. |
46. |
(Bukan kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit. |
47. |
Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api Neraka. |
48. |
Semasa mereka diseret di dalam Neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka. |
49. |
Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan). |
50. |
Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat jadinya) seperti sekelip mata. |
51. |
Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan orang-orang yang sama keadaannya seperti kamu; maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran? |
52. |
Dan tiap-tiap perkara yang mereka lakukan, adalah tertulis di dalam Kitab suratan amal; |
53. |
Dan tiap-tiap perkara yang kecil dan yang besar tetap tercatit. |
54. |
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai, |
55. |
Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya. |