1. |
Dia memasamkan muka dan berpaling, |
2. |
Kerana dia didatangi orang buta. |
3. |
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! – |
4. |
Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. |
5. |
Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), |
6. |
Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. |
7. |
Padahal engkau tidak bersalah kalau dia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). |
8. |
Adapun orang yang segera datang kepadamu, |
9. |
Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah); |
10. |
Maka engkau berlengah-lengah melayaninya. |
11. |
Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). |
12. |
Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah dia mengambil peringatan daripadanya. |
13. |
(Ayat-ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan; |
14. |
Yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan); |
15. |
(Terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Luh Mahfuz; |
16. |
(Malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti. |
17. |
Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? |
18. |
(Tidakkah dia memikirkan) dari apakah dia diciptakan oleh Allah? |
19. |
Dari air mani diciptakannya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab; |
20. |
Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang dia pilih); |
21. |
Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya dia dikuburkan; |
22. |
Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula). |
23. |
Janganlah hendaknya dia kufur ingkar lagi! Sebenarnya dia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya. |
24. |
(Kalaulah dia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya): |
25. |
Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. |
26. |
Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan; |
27. |
Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, |
28. |
Dan buah anggur serta sayur-sayuran, |
29. |
Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, |
30. |
Dan taman-taman yang menghijau subur, |
31. |
Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput; |
32. |
Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. |
33. |
Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat; |
34. |
Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, |
35. |
Dan ibunya serta bapanya, |
36. |
Dan isterinya serta anak-anaknya; |
37. |
Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. |
38. |
Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, |
39. |
Tertawa, lagi bersuka ria; |
40. |
Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, |
41. |
Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. |
42. |
Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka. |